Selamat Datang ke website "A Formula Tutor". Kami menawarkan perkhidmatan 'Personal Tutor' ke rumah anda
RSS

Friday 23 November 2012

selamat menempuhi kehidupan

KEHIDUPAN BERMULA SELEPAS SPM ??

Peperiksaan SPM 2012 akan berakhir pada awal bulan Disember nanti. Sudah pasti calon-calon SPM sudah tidak sabar untuk menantikan detik kemenangan tersebut. Mereka akan bebas dari alam persekolahan, tiada lagi uniform sekolah, loceng berbunyi, perhimpunan waktu pagi, spot check dan sebagainya. Teringat saya akan peristiwa yang berlaku pada hari tersebut kira-kira tujuh tahun yang lepas. Ada yang berlari keluar dewan sambil menjerit ‘merdeka’, ada yang melepaskan perasaan kepada tong sampah (tak pasti samada geram atau gembira). Diharap para pelajar hari ini lebih cool, keluar dewan dengan tenang dan senyuman yang terukir di wajah masing-masing. Sabar, ada lebih kurang dua minggu lagi.



Tentu sekali ada di antara mereka yang sudah merancang aktiviti-aktiviti yang akan dilakukan sebaik sahaja kertas terakhir dihantar kepada pengawas peperiksaan. Pasti ramai yang bercadang ingin bekerja sementara menunggu keputusan peperiksaan diumumkan pada bulan Feb atau Mac tahun hadapan. Maklumlah, mereka ingin merasa memegang duit hasil titik peluh sendiri. Akan penuhlah pusat membeli belah, stesyen minyak, kedai-kedai buku, kedai-kedai makan dengan wajah-wajah muda lepasan sekolah ini.




Tidak kurang juga yang bercadang ingin bercuti memandangkan sebelum ini sudah bertungkus lumus menghadap buku siang dan malam. Keluar bersama rakan-rakan ke tempat yang mereka suka dan lakukan aktiviti-aktiviti yang mereka idam-idamkan selama ini. Kali ini, ibu bapa sudah tidak mampu melarang lagi. Anak-anak mempunyai alasan mereka sendiri. Namun, jangan lupa mengingatkan mereka tentang apa yang boleh dan apa yang tidak. 




Bagi mereka yang sudah menetapkan matlamat dan hala tuju selepas alam persekolahan, pasti mereka akan sibuk mempersiapkan diri untuk melangkah ke alam universiti. Mereka akan menyertai kursus-kursus seperti Kursus Komunikasi, IT, Pengurusan Diri, Jati Diri dan sebagainya. Ada juga yang sudah bersemangat untuk menyambung pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi, jadi mereka menggunakan masa tersebut untuk menyertai kelas-kelas pra universiti. Namun, bagi mereka yang terpilih untuk menyertai Program Latihan Khidmat Negara, masa cuti mereka akan diisi dengan aktiviti-aktiviti yang disediakan selama 3 bulan.




Apa-apa pun, berfikir dan berbincanglah sebelum membuat sebarang keputusan. Ya, anda telah meningkat dewasa. Ya, anda bukan budak-budak sekolah lagi. Tapi, orang tua makan garam lebih dahulu daripada anda. Jangan sesekali mengambil tindakan yang akan merugikan diri sendiri dan keluarga.

Selamat menempuhi kehidupan!


Read Comments
  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 comments:

Post a Comment